BREAKING NEWS

Edisi Mistik : Apa ada dengan SANTAU..


Junuh memang hebat. Semua orang tau hobi pelik Junuh. Di kampung Seri Sentosa, siapa yang tak kenal Junuh. Macam-macam perkara dasyat pernah dilakukannya untuk jadi terkenal.

Benda yang orang lain takut nak buat, itulah yang paling ingin dicubanya. Pernah Junuh berjalan dari satu pokok kelapa ke pokok kelapa lain hanya dengan meniti atas pelepahnya sahaja.

Pernah juga dia ke hutan menangkap binatang buas dengan tangan kosong. Lebih mengagumkan lagi bila dia sanggup meredah api yang marak membakar rumah Haji Salleh, ketua kampung Seri Sentosa untuk menyelamatkan anak gadisnya, Seroja.

Kerana kehebatan dan keberanian Junuh, Seroja yang memang terkenal cantik jelita di kampong itu telah jatuh hati kepadanya. Haji Salleh tidak membantah.

Segera majlis perkahwinan mereka dilangsungkan. Ini menyebabkan ramai anak-anak muda kampung tersebut yang cemburu dan sakit hati kepada Junuh. Namun bila mengenangkan betapa berani dan hebatnya Junuh, mereka semua hanya mampu menelan air liur.

Tiba-tiba, sesuatu yang di luar jangkaan berlaku di hari persandingan Junuh. Sejak pagi lagi Junuh muntah-muntah.

Pada mulanya, Junuh menganggap itu perkara biasa sahaja. Tetapi bila dia muntah lagi dan kali ini muntahnya bercampur darah, Junuh mula merasakan ada sesuatu yang tak kena dalam dirinya.

Demi untuk tidak merosakkan majlis, Junuh diamkan sahaja perkara itu. Dia berlagak seperti biasa. Namun dia akhirnya tidak mampu menyembunyikan perkara itu bila dia muntah-muntah lagi sebaik sahaja duduk di pelamin.

Semua hadirin jadi gempar melihat darah merah tersembur dari mulut Junuh. Junuh segera di usung ke ruang tamu.

Waktu mak mertuanya sibuk mencuci muntah Junuh yang mengotori karpet, dia temui sesuatu yang pelik. Serpihan-serpihan kaca halus didapati bercampur bersama muntah dan darah.

Beberapa batang paku setengah inci dan mata pisau cukur turut ditemui. Lalu seorang dukun dipanggil. Seroja cuba menghalang ibunya dari memanggil Pak Dukun tersebut.

Dia lebih suka jika Junuh dihantar berubat di hospital. Dia resah lalu menelefon ambulan.

Upacara pengubatan segera dilakukan sebaik Pak Dukun sampai. Setelah berjampi-serapah dan berasap kemeyan, Pak Dukun cuma menggeleng-geleng. Berkumat-kamit mulutnya membaca mentera.

Sesekali dia menepuk lantai. Kemudian mengurut-ngurut dada Junuh sambil memejam matanya rapat-rapat. Junuh tersedak. Darah meleleh dari mulutnya. Junuh mengerang sakit.

“Siapa hantar kau ke mari?!” Tanya Pak Dukun sedikit menengking. Matanya terjegil bulat merenung wajah Junuh yang berkerut menahan sakit. Peluh kasar terpercik di dahinya.

“Aku… aku memang tinggal sini. Ini kampung aku! Kenapa Pak Dukun tekan dada aku? Sakit, tau tak?” Marah Junuh. Namun tak dipedulikan oleh Pak Dukun.

“Jadi, orang dekat lah ni… siapa nama tuan kau, hah?” Tanya Pak Dukun lagi. Nadanya tetap keras.
“Tuan apa? Aku mana ada tuan… aku bebas! Pak Dukun ni dah buang tebiat ke tanya aku macam ni?” Junuh memulangkan soalan. Dia mengurut dadanya yang sakit. Suaranya turut berubah parau menahan pedih.

“Jangan melawan! Jawab apa aku tanya. Aku tau asal-usul kau. Kau nak aku kurung kau dalam botol minyak angin? Hah!” Herdik Pak Dukun. Junuh ketawa besar. Tetapi kembali mengerang sakit bila ibu jari kakinya pula ditekan kuat dengan kuku Pak Dukun.

“Seroja… tolong abang Seroja… Pak Dukun ni dah gila… dia nak bunuh abang…” Junuh cuba meraih simpati Seroja yang menangis di sisi ibunya.

“Apa boleh Seroja bantu abang?” Tanya Seroja penuh simpati. Tangannya mengusap-usap rambut Junuh. Junuh termuntah lagi. Berkeping-keping kaca halus seperti kaca mentol bersemburan bersama darah hitam pekat. Junuh terkulai lemah.

Terkial-kial dia gagahkan diri merapati telinga Seroja. Junuh sempat bisikkan sesuatu di telinga Seroja sebelum kembali tak sedarkan diri.

“Huh! Hah! Cepat tunjukkan diri. Jangan ganggu anak cucu kami! Kat mana kau sembunyikan ‘benda’ tu, hah?! Bagitau aku cepat!!”

Melihatkan keadaan genting itu, Pak Dukun bertempik. Matanya merenung tepat ke arah dupa berisi bara. Kemeyan ditabur lagi. Asap berbau harum memenuhi ruang bilik. Seroja menghampirinya.

“Abang Junuh kata, ‘benda’ tu ada bawah katil.” Bisik Seroja takut-takut. Bulu tengkuknya meremang membayangkan ‘benda’ yang dimaksudkan suaminya.

Terlintas di fikirannya bangkai katak yang dicucuk jarum peniti dan diikat benang kuning. Mungkin juga tengkorak bayi mati lepas lahir yang tersembunyi di bawah katilnya. Dan berbagai lagi benda pelik dan menakutkan menghantui benaknya.

Pak Dukun segera bangun menuju ke bilik pengantin. Beberapa orang lelaki yang sejak tadi hanya mendiamkan diri turut bangun mengekori Pak Dukun. Mereka juga tidak sabar untuk melihat ‘benda’ yang tersembunyi di bawah katil pengantin.

Pak Dukun menyelak cadar dan tilam perlahan-lahan. Semua yang ada di situ memerhati dengan sabar dan berdebar-debar. Semuanya diam membisu. Pak Dukun sudah dapat melihat sesuatu yang pelik terselit di sudut katil.

Dia hulurkan tangan. Perlahan-lahan dia mencapainya. Sesuatu berbentuk empat segi tepat terikat rapi dalam kain merah. Pak Dukun membuka ikatannya dengan berhati-hati.

Saat itu juga, bunyi siren ambulan kedengaran di luar pagar. Beberapa orang lelaki berbaju putih bergegas masuk ke rumah bersama pengusung.

Seroja serba-salah. Namun dia membiarkan sahaja petugas-petugas hospital itu menjalankan tugas mereka. Pak Dukun keluar semula dari bilik pengantin bersama bungkusan tadi yang telah terbuka.

Sebuah buku berkulit keras tergenggam di tangan kanannya. Lalu dia menyerahkan buku itu kepada salah seorang petugas hospital tadi.

“Kau tau dia tulis apa? Aku tak tau baca bahasa penjajah ni.” Kata Pak Dukun. Keningnya masih lagi berkerut. Sepanjang penglibatannya dalam bidang perubatan tradsional, inilah kali pertama dia berdepan dengan ilmu santau menggunakan buku.

“THE GUINNESS BOOK OF WORLD RECORDS 2011” Kata petugas hospital tersebut sebelum menyambung kerja-kerjanya.

Sekeping gambar lelaki Mat Salleh sedang memakan kaca yang telah dikerat dari buku itu jatuh ke lantai. Ada catatan tulisan tangan tertulis; 'Ini Akan Jadi Rekod Aku Seterusnya!'. Semua orang kampung ternganga.


*Kredit to Nizareka.

3 ulasan :

  1. CARA TUAN MELAWAK AGAK KASAR LA MALAM NI...

    ANYWAY THANX A LOT BRO...

    JADI MODAL GELAK SAMBIL TERAJANG SANTA CLAUS MLM NI...

    PEJUANG HAMAS...

    BalasPadam
  2. Hantu raye tol....buat suspen je bace bace sampai habis ha ha ha

    BalasPadam
  3. Salam der....

    Kena tipu lagi....huhuhuhu

    BalasPadam

About

Blog ini mengandungi penulisan artikel yang berunsurkan..

(Edisi18PL), menyentuh aspek agama, sosial dan politik,
(Edisi18SX), mengandungi unsur seks yang agak keterlaluan,
(Edisi18SG), ada gabungan dua atau lebih unsur ganas, seram dan seks,

Setiap kandungan didalam blog ini hanyalah merupakan satira politik dan juga pojok penulisan peribadi. Jangan ambil serius sangat kalau terasa dipersendakan dan terkena di batang hidung sendiri. Sila bertindak bijak untuk kebaikan diri masing-masing.

Terima kasih kerana berlapang dada sewaktu membaca.
 
Copyright © 2014 MPP Online