Bekas ahlinya, Mohamed Razali Abdul Rahman berkata, parti berkenaan akan memastikan undang-undang Islam tidak dilaksanakan di negara ini dan Perlembagaan tidak diubah untuk tujuan tersebut.
Justeru, beliau yang pernah berjuang bersama DAP selama tujuh tahun menegaskan, amat mustahil untuk Pas melaksanakan hukum hudud selagi masih bergabung dengan DAP.
"Pas mungkin dalam keadaan tertekan dan mahu melaksanakan hudud semata-mata hendak mendapat sokongan pengundi.
"Tapi saya ingatkan kepada Pas jangan bermimpi di siang hari selagi masih bersama DAP," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Kelmarin, pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah mengingatkan umat Islam supaya tidak menyokong DAP kerana ia adalah haram dan berdosa memandangkan parti itu secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta hukum hudud.
Abdullah juga menegaskan, umat Islam tidak boleh menyokong mana-mana pihak yang bekerjasama dengan DAP kerana ia akan turut membawa kemenangan kepada parti tersebut.
Mohamed Razali berkata, keadaan Pas yang semakin tertekan untuk mendapat simpati penyokongnya boleh dilihat semasa debat di antara Ketua Pemudanya, Nasrudin Hassan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya baru-baru ini.
Menurutnya, Nasrudin sanggup memutarbelit fakta berhubung kompromi Pengerusi DAP, Karpal Singh terhadap hukum hudud.
"Kalau dia (Nasrudin) tidak percaya dan nak berdebat dengan saya tentang pendirian DAP dalam isu ini, saya terima cabaran dia," ujarnya.
Catat Ulasan