Mohd Zulkarnain Ismail, 44, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap isterinya, Che Alirawati Che Abdullah, 36, jam 7.15 petang pada 21 Mei lalu di kediaman di Jalan Surau Haji Daud.
Tertuduh yang beralamat di Kampung Batu 6, Chendering bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan meminta dibicarakan.
Majistret Rozianti Mohd Hanaphi menetapkan tarikh 16 Jun depan sebagai sebutan semula kes dan mengarahkan tertuduh dijamin sebanyak RM4,000 oleh seorang penjamin.
Dalam kejadian jam 7.15 petang itu, tertuduh didakwa memukul menggunakan kaki dan tangan dan menghantukkan kepalanya ke kepala pengadu serta memukul kepala dan badan pengadu menggunakan sebatang zakar palsu di hadapan anak-anak.
Kesan pukulan itu menyebabkan isterinya mengalami sakit pada badan dan bengkak di kepala.
Selepas kejadian, isterinya kemudiannya bertindak melarikan diri sebelum terserempak kereta peronda polis dan meminta bantuan anggota polis untuk membawanya ke balai polis berdekatan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian itu berpunca daripada tindakan isterinya yang tidak boleh menerima gurauan tertuduh yang meletakkan zakar palsu di punggungnya ketika tidur.
Menurut isterinya, sebelum ini, suaminya yang juga seorang penagih dadah sering memukulnya jika berlaku pertengkaran.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Tertuduh ditahan jam 4.45 pagi pada 22 Mei lalu di kediamannya dan hasil ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor L Rathna.
Catat Ulasan