Kata beliau, seperti yang difahamkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya memberitahu bahawa kerajaan negeri ketika ini sedang memperbaiki masalah itu dengan menjalankan beberapa kajian.
"Tan Sri Khalid hanya menyebut akan melakukan penyelidikan atau kajian dan tugaskan beberapa staff untuk selenggarakan, saya tidak fikir dia buat kenyataan lebih dari itu," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.
Anwar juga menjelaskan dakwaan Raja Petra itu tiada kaitan dengan pemberhentian 22 pekerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB).
"Saya dimaklumkan, dan dia memang maklumkan tentang perkara itu. Kalau dikaitkan dengan pemberhentian pekerja, saya juga telah jumpa beberapa wakil mereka. Dan telah saya buat beberapa kenyataan dan maklumkan kepada Tan Sri Khalid," kata beliau lagi.
Antarapos semalam melaporkan Khalid mengakui wujudnya pembaziran dalam pengurusan kewangan PKNS seperti yang didakwa blogger kontroversi, Raja Petra.
Menjelaskan perkara itu beliau berkata, apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan negeri ketika ini adalah memperbaiki perkara tersebut dan meningkatkan kecekapan pengurusan.
"Boleh jadi Raja Petra dapat maklumat dari pegawai PKNS sendiri yang tak sukakan perkara itu berlaku..
"Satu perkara yang jelas di sini apabila kita PR melaksanakan polisi transparensi, ketelusan dan kebertanggungjawapan, perkara ini akan berlaku," katanya.
Terdahulu Raja Petra Kamaruddin dalam blognya mendakwa kerajaan negeri membayar “gaji buta” bernilai jutaan ringgit kepada kakitangan PKNS.
Bekas Pengurus Besar PKNS Othman Omar menikmati gaji bulanan RM45,000 sebulan manakala Faridah Rohani Rais diberi imbuhan RM7,000 dan tambahan RM1,000 sejam untuk menulis ucapan-ucapan majikannya itu.
Pada masa sama PKNS juga menggaji khidmat perunding Kriss Consultant Communications untuk menulis ucapan-ucapan berkenaan. - AntaraPos.
Catat Ulasan