BREAKING NEWS

Siapa yang sokong LGBT adalah murtad- Datuk Nooh Gadot.


Umat Islam yang menolak hukum agama yang melarang amalan hubungan sejenis seperti yang diperjuangkan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dianggap melakukan jenayah akidah dan terkeluar daripada agama Islam atau murtad.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot berkata, ini kerana tindakan itu jika dilakukan dengan akal yang waras sama seperti menghina dan merendahkan hukum Allah SWT.

‘‘Amalan sejenis LGBT ini adalah sesuatu yang keji, kotor, jijik dan dilarang serta ditegah oleh Islam.

‘‘Sesiapa juga yang menghalalkan hukum ini sama ada melalui al-Quran dan hadis juga ijma’ ulama perlu bertaubat nasuha dan kembali mengucap dua kalimah syahadah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada percubaan beberapa pihak yang mahu menghalalkan hubungan sejenis di negara ini termasuk dengan menekan undang-undang negara yang meletakkan hubungan itu sebagai kesalahan jenayah.

Ia termasuk Majlis Peguam yang menolak hubungan sesama jenis yang dilakukan secara suka sama suka antara orang dewasa suatu jenayah sekali gus tidak harus dibawa ke mahkamah.

Selain Majlis Peguam, hubungan sejenis itu turut mendapat sokongan Institut Hak Asasi Manusia Persatuan Peguam Antarabangsa (IBAHRI) yang mendesak kerajaan menghalalkan aktiviti LGBT dengan meminda undang-undang sedia ada kononnya bagi memastikan perundangan negara seiring dengan undang-undang antarabangsa.

Menurut Nooh, selain pengamal hubungan sejenis, individu yang cenderung kepada kefahaman itu serta mereka yang bersahabat, bekerjasama, bersubahat atau bersetuju dengan perbuatan itu juga dianggap melakukan jenayah akidah.

Ia kata beliau, termasuk mereka yang memberi laluan atau mengeluarkan bantuan kewangan kepada kumpulan yang menyokong kebebasan seksual itu.

‘‘Dalam hal ini kita boleh merujuk kepada firman Allah SWT menerusi surah Hud ayat 113 yang bermaksud: ‘Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan’,” katanya.

Katanya lagi, kefahaman yang menghalalkan hubungan sejenis juga telah membuang hukum berhubung perkahwinan yang antaranya rukun nikahnya ialah perkahwinan antara lelaki dan perempuan.

Justeru tambah beliau, mereka yang menolak hukum dan ketetapan Allah SWT serta Rasulullah SAW itu bermakna telah menolak al-Quran dan sunah sekali gus tergolong dalam kumpulan yang sesat dengan kesesatan yang nyata.

Catat Ulasan

About

Blog ini mengandungi penulisan artikel yang berunsurkan..

(Edisi18PL), menyentuh aspek agama, sosial dan politik,
(Edisi18SX), mengandungi unsur seks yang agak keterlaluan,
(Edisi18SG), ada gabungan dua atau lebih unsur ganas, seram dan seks,

Setiap kandungan didalam blog ini hanyalah merupakan satira politik dan juga pojok penulisan peribadi. Jangan ambil serius sangat kalau terasa dipersendakan dan terkena di batang hidung sendiri. Sila bertindak bijak untuk kebaikan diri masing-masing.

Terima kasih kerana berlapang dada sewaktu membaca.
 
Copyright © 2014 MPP Online