BREAKING NEWS

Edisi Rakyat Didahulukan!! Rayuan kepada PM...



Oleh Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
        (http://www.drkhir.com/)



1. Usaha menyenaraihitamkan mereka yang mempunyai saman ekor tertunggak ditangguhkan sehingga awal tahun depan. Penangguhan ini mengurangkan rungutan dan kemarahan orang ramai tetapi tidak menyelesaikan masalah. Tahun hadapan masalah ini akan disebut lagi dan kesan-kesan yang sama akan berulang lagi. Apakah hubungan rakyat dan kerajaan hari ini menjadi seperti penukul dan pahat, Sekali rakyat merungut, sekali kerajaan bergerak?

2. Saman ekor ini merupakan satu pilihan kepada pihak berkuasa dalam menguatkuasa peraturan had laju. Kaedah ini digunakan kerana ia lebih cekap dari segi penggunaan tenaga penguatkuasa dan juga mengelakkan kesesakan jalan raya. Satu lagi kaedah ialah mengadakan perangkap had laju dan menahan pemandu beberapa kilometer kemudian.

3. Saya percaya saman ekor diperkenalkan dengan tujuan baik iaitu untuk mendisiplinkan pemandu dan mengurangkan kemalangan jalan raya. Namun kaedah pelaksanaannya sangat meragukan dan menimbulkan kemarahan rakyat.

4. Berbanding saman secara bersemuka yang menyaman pemandu atau lebih tepat mereja yang melakukan kesalahan, saman ekor lebih banyak menganiaya orang ramai. Banyak kes mereka yang tidak bersalah mendapati telah disaman memandu melebihi had laju. Antara isu utama ialah orang lain memandu kereta dan pemalsuan plat kenderaan. Ini menyebabkan banyak tuan punya kereta yang tidak bersalah terpaksa menanggung beban yang tidak sepatutnya.

5. Masalah bertambah serius apabila mereka yang disaman tidak mengetahui saman tersebut sehingga beberapa bulan dan ada juga yang memakan masa beberapa tahun. Ini bukan sahaja menyebabkan ia tertunggak malah menafikan peluang pembelaan. Jika kesalahan enam bulan lalu, baru diketahui hari ini, bagaimanakah mereka yang disaman mahu mempertahankan diri? Saya dapati ada juga yang hanya mengetahui mempunyai saman ekor yang dilakukan pada tahun lalu atau beberapa tahun lalu.

6. Terdapat juga individu yang menemui saya menunjukkan saman ekor yang beliau dapat di sebatang jalan di Sarawak sedangkan kereta beliau berdaftar di Kuala Lumpur dan masih berada di Kuala Lumpur sehingga hari ini. Jangankan kereta, tuan punya kereta pun belum pernah sampai ke negeri bumi kenyalang tersebut.

7. Maka untuk mempertahankan diri tuan empunya kereta ini terpaksa menulis surat dan mengemukakan bukti. Jika mahu gambar kena pula membuat permohonan kepada polis dan membayar jumlah tertentu. Nampaknya penguatkuasa kerja senang, rakyat pula yang terpaksa bersusah payah mempertahankan diri akibat kelemahan dan kecuaian penguatkuasaan undang-undang.

8. Oleh kerana terdapat banyak kecuaian dan kelemahan penguatkuasaan dalam kes saman ekor ini saya ingin mendesak agar kerajaan menghapuskan semua saman ekor yang tertunggak.

9. Saya juga berharap YAB Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri melihat semula isu saman ekor ini. Saman ekor hanya bertujuan menguatkuasa peraturan had laju seolah-olah kelajuanlah punca utama kemalangan jalan raya. Sedangkan sebahagian besar kemalangan berpunca daripada kecuaian, memandu secara semberono dan keletihan, bukannya melanggar had laju semata-mata.

10. Berdasarkan pengalaman memandu selama lebih 20 tahun, saya percaya hampir 80% daripada kita pernah melebihi had laju yang ditetapkan pada satu-satu ketika kerana mahu memotong atau berada di lebuh raya yang lengang. Namun bukan semua memandu terlalu laju sehingga membahayakan pengguna lain atau di luar kemampuan kenderaan.

11. Saya tidak menafikan bahawa peraturan tetap peraturan dan yang melanggarnya perlulah menanggung akibat. Namun janganlah diborongkan berat kesalahan memandu melebihi had ini dengan memandu dengan terlalu laju. Ada beza besar antara mereka yang memandu melebihi had laju dalam julat 20-30 km sejam berbanding yang memandu dalam julat 50 km sejam dan ke atas melebihi had laju yang ditetapkan. Malangnya ini tidak diambil kira oleh mekanisme saman ekor.

12. Justeru jika saman ekor mahu diteruskan saya berharap beberapa perubahan besar perlu dilakukan bagi menunjukkan saman ekor ini bertujuan mendisiplin pemandu dan mengurangkan keselamatan jalan raya bukannya menambah kantung kerajaan.

13. Antara perubahan yang perlu dilakukan ialah:

a. Setiap saman ekor yang dikeluarkan hendaklah sampai kepada mereka yang didakwa melakukan kesalahan tidak lebih daripada 14 hari dari tarikh kesalahan tersebut. Saman hendaklah disampaikan mengikut kaedah dan peraturan penyampaian sapina atau saman mahkamah.

b. Setiap saman ekor yang dikeluarkan hendaklah disertakan bukti bergambar secara otomatik tanpa sebarang bayaran. Kaedah sekarang yang memerlukan mereka yang kena saman membuat permohonan dan dikenakan bayaran harus dihapuskan. Adalah menjadi tanggungjawab penguatkuasa membuktikan bahawa mereka yang disaman telah melakukan kesalahan bukan sebaliknya. Konsep seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah perlu dipraktikkan.

c. Jumlah kompaun hendaklah mengikut lebihan KM berbanding had laju bukannya pukul rata sehingga tiada beza antara mereka yang memandu 120 km sejam dengan 200 km sejam. Ini wajar kerana dari segi risiko kemalangan juga berbeza antara mereka yang memandu 120 km sejam dengan 200 km sejam biarpun kedua-duanya melanggar had laju yang ditetapkan.

14. Saya berharap cadangan ini dapat dipertimbangkan agar bukan sahaja kerajaan akan dilihat lebih bertanggungjawab tetapi rakyat juga merasa senang hati kerana mengetahui kerajaan sentiasa mengutamakan keadilan kepada mereka.


p/s: Saya bersyukur kerana tak dibebani dengan saman ekor ni. Cuma saya bersimpati dengan ramai rakan-rakan yang terpaksa menghadapi masalah membayar saman tertunggak. Elok juga kalau ada usaha untuk menghapuskan saman tersebut.

2 ulasan :

  1. Untuk PRU13.rakyat didahulukan,jangan cakap sama bikin talak sama ma....

    BalasPadam
  2. Saya juga telah memuatkan artikel mengenai saman ekor pada awal Ogos dan kemudiannya dikemaskinikan pada awal September. (SILA KLIK DI SINI)

    Sememangnya bagi saya, saman bersemuka lebih baik dari saman ekor kerana ianya lebih tidak menimbulkan banyak keraguan tentang kesahihan saman tersebut.

    Dan juga, apa yang saya difahamkan oleh keputusan mahkamah, JPJ tidak berhak untuk menolak pembaharuan cukai lesen hanya kerana terdapat senarai-hitam saman ekor yang belum tentu kesahihannya.

    BalasPadam

About

Blog ini mengandungi penulisan artikel yang berunsurkan..

(Edisi18PL), menyentuh aspek agama, sosial dan politik,
(Edisi18SX), mengandungi unsur seks yang agak keterlaluan,
(Edisi18SG), ada gabungan dua atau lebih unsur ganas, seram dan seks,

Setiap kandungan didalam blog ini hanyalah merupakan satira politik dan juga pojok penulisan peribadi. Jangan ambil serius sangat kalau terasa dipersendakan dan terkena di batang hidung sendiri. Sila bertindak bijak untuk kebaikan diri masing-masing.

Terima kasih kerana berlapang dada sewaktu membaca.
 
Copyright © 2014 MPP Online