VIDEO TERLAMPAU MAHASISWA DI PENANG. @SISWA_4U #PG13 #PRU13


KENYATAAN MEDIA
JURUCAKAP SISWA4U
MERANGKAP PENGERUSI KARISMA
UNIVERSITI SAINS MALAYSIA.

14 APRIL 2013

Kami, sukarelawan Siswa4U, Universiti Sains Malaysia bersedia untuk menggembling tenaga dan buah fikiran ke arah mencapai matlamat untuk menyuburkan ideologi demokrasi di Malaysia.

Usaha kami ini adalah lanjutan daripada kenyataan media pertama Siswa4U yang telah dikeluarkan oleh rakan saya, Saudara Hafiz Ariffin pada hari Rabu, 3 April 2013. Sebagai golongan mahasiswa, kami ingin menunjukkan kesungguhan kami untuk terlibat sama dalam proses penyediaan masa hadapan yang lebih baik untuk para mahasiswa khususnya dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Lihat video di bawah :


Video : sidang akhbar Siswa tolak Pakatan pembangkang

Oleh kerana mahasiswa merupakan generasi muda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara, maka kami mengambil pendekatan untuk terlibat di dalam proses demokrasi dan Pilihanraya Umum ke-13 secara sihat, matang, berintelek, berintegriti dan bermaruah.

Justeru itu, kami memilih untuk menyokong manisfesto Barisan Nasional yang juga merupakan akujanji YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada rakyat Malaysia kerana ianya jelas menitik beratkan tentang keadilan sosial dan menyediakan pembelaan kepada kaum yang terpinggir.

Jelas terbukti bahawa kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak menekankan kepada pembentukan dan pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) yang telah diperincikan mengikut teras Transformasi Kerajaan, Ekonomi dan Politik. Justeru ia memberi kenyakinan bahawa Akujanji ini akan dilaksanakan dan ianya bukanlah satu Manifesto Bukan Janji.

Kami yakin bahawa Akujanji untuk menjanjikan 3.3 juta peluang kerja baru dengan 2 juta daripadanya dalam sektor berpendapatan tinggi akan ditunaikan, bersesuai dengan keperluan graduan Universiti. Sebagai mahasiswa, kami juga berterima kasih kerana dijanjikan akses kepada jalur lebar WiFi secara percuma di semua kampus institusi pengajian tinggi awam.

Corak pentadbiran berdasarkan KPI yang telus dan menepati sasaran ini jauh berbeza dengan pentadbiran kerajaan Pulai Pinang. Berdasarkan pengamatan kami yang menghabiskan banyak masa di pulau mutiara ini, kami mendapati bahawa prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) hanyalah omongan kosong yang tidak diamalkan oleh kerajaan Pulau Pinang.

Kerajaan Pulau Pinang sebenarnya tidak telus apabila menyorok hakikat bahawa hutang negeri Pulau Pinang berkurangan secara drastik hasil daripada pengstrukturan semula Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) oleh kerajaan persekutuan yang ditadbir oleh Barisan Nasional.

Kami juga mendapati bahawa kerajaan negeri tidak mempedulikan tentang keadilan sosial rakyat apabila meminggirkan keperluan rakyat termasuk golongan belia yang ingin memiliki rumah mampu milik. Berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional, sikap keprihatinan terhadap keperluan rakyat memastikan tiada golongan masyarakat yang terpinggir.

Sehubungan dengan itu, Barisan Nasional telah berjanji untuk menyediakan 1 juta rumah mampu milik yang baru dengan separuh daripadanya di bawah skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang berharga sekurang-kurangnya 20% lebih murah daripada harga pasaran.

Sebaliknya, kerajaan negeri Pulau Pinang pula lebih mengutamakan pembinaan terowong bawah laut yang bernilai 6.3 billion ringgit walaupun persatuan yang mewakili rakyat Pulau Pinang seperti Consumer Association of Penang (CAP) dan Penang Citizens Awareness Chant Group (Chant) telah menyuarakan pandangan dan keraguan mereka terhadap keselamatan dan kewajarannya.

Malah kami berpendapat bahawa adalah lebih adil untuk menyediakan pembelaan kepada rakyat termiskin daripada menghabiskan jumlah wang berbilion ringgit untuk membina terowong bawah laut.

Sekiranya suara persatuan-persatuan ini tidak diendahkan oleh kerajaan Pulau Pinang, timbul satu lagi isu iaitu akauntabiliti.Terdapat percanggahan kenyataan di antara Manifesto Pakatan Rakyat yang menjanjikan penghapusan tol dengan kenyataan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang nekad untuk mengenakan bayaran tol untuk terowong tersebut.

Selama manakah rakyat akan tertipu dengan janji-janji palsu yang hanya merupakan gula-gula untuk meraih undi?

Kami sebagai mahasiswa sangat berpegang kepada prinsip “Walk the Talk”, dengan bahasa yang lebih mudah, “cakap serupa bikin”.

Setiap apa yang kami katakan pasti kami kotakan. Begitu jugalah yang kami harapkan dalam kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Tetapi harapan kami hanya tinggal harapan. Tiada guna jika kerajaan negeri Pulau Pinang menjanjikan bulan dan bintang jika rakyat di negeri ini tidak dapat menikmatinya.

Ternyata janji-janji Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanyalah omongan kosong dan kami telah letih dengan senario manifesto bukan janji ini.

Berbeza dengan kepimpinan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak. Setiap yang dikatanya pasti dikota. Baucer Buku 1 Malaysia, Bantuan Rakyat 1 Malaysia, Kedai 1 Malaysia serta pelbagai lagi kemudahan yang diberikan kepada rakyat telah membuktikan bahawa kerajaan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah kerajaan yang menepati janji.

Dengan adanya pelbagai bukti kerakusan dan ketidakpedulian kerajaan Pulau Pinang terhadap tanggungjawab sosial dan keadilan sosial rakyat Pulau Pinang, kami di Siswa4U ingin menyeru rakyat Malaysia agar menukar kerajaan negeri Pulau Pinang dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan dan pasukan pilihan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak yang lebih bertanggungjawab dan boleh dipercayai.

Sekian, terima kasih.

1 ulasan:

  1. xbest langsung. orang pon xramai. mengarut sahaja siswa4u ni. takde perancangan langsung

    BalasPadam