DEWAN ULAMA PAS KEDAH DESAK AZIZAN LETAK JAWATAN.


Dewan Ulama Pas Kedah sudah beberapa kali minta pucuk pimpinan Pas menggantikan Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai pesuruhjaya Pas negeri dengan pemimpin lain sejak setahun lalu.

Setiausahanya, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menamakan siapa pemimpin yang paling layak menggantikan Menteri Besar Kedah itu.

"Ini kerana kita (Dewan Ulama) yakin pimpinan tertinggi Pas tahu siapa yang terbaik untuk mereka pilih," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Syeikh Muhd Zainul Asri berkata, pihaknya mencadangkan demikian bukan kerana tidak menghormati Azizan ataupun menolak kepimpinannya.

"Apa yang kita ambil kira hanya atas sebab masalah kesihatannya saja. Kita akui kehebatan Ustaz Azizan sebagai ahli politik yang disegani," katanya.

Ditanya kepada siapa cadangan itu dikemukakan, Syeikh Muhd Zainul Asri berkata, ia dsuarakan terus kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kali terakhir cadangan itu dibuat ialah ketika kunjungan Presiden (Abdul Hadi) ke Kedah bagi sambutan Tahun Baru Cina di Alor Setar. Kami berjumpa secara bersemuka dan beri cadangan secara lisan,” katanya.

Menurutnya, cadangan dibuat kerana bimbang perjalanan parti terjejas menjelang pilihan raya umum yang akan diumumkan pada bila-bila masa sekarang, ekoran masalah kesihatan Azizan yang dilihat berterusan.

“Ia sekadar cadangan dan bukan desakan daripada Dewan Ulama. Kami masih hormati sikap mentaati kepimpinan tertinggi,” katanya.

Ditanya sama ada perubahan itu wajar diadakan sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Syeikh Muhd Zainul Asri berkata, terserah kepada kepimpinan Pusat untuk melihat kesesuaian masa.

“Setakat ini tiada maklum balas daripada Pusat berhubung cadangan itu, walaupun sudah disuarakan sejak setahun lalu,” katanya.

1 ulasan:

  1. X caya aq...mungkin ada udang disebalik batu

    BalasPadam