Umat Islam perlu menjadikan tanggungjawab memilih kepemimpinan negara pada pilihan raya umum akan datang sebagai satu usaha memastikan akidah mereka terus dipertahankan.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin menyifatkan umat Islam di negara ini kini berhadapan dengan krisis akidah susulan tuntutan penggunaan kalimah Allah yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam perutusan Krismas tahun lalu.
"Perkara ini tidak seharusnya dilihat oleh umat Islam sebagai suatu yang kecil apatah lagi menganggapnya sekadar satu isu politik. Maka, dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, saya minta umat Islam melihat pilihan raya bukan hanya satu proses untuk menentukan siapa menjadi kerajaan, siapa jadi Perdana Menteri semata-mata.
"Sebaliknya saya mahu semua umat Islam menjadikan pilihan raya itu nanti sebagai penentu sama ada akidah kita selamat atau tidak. Kita kena faham isu kalimah Allah mengatasi politik kerana isu tersebut membabitkan akidah, tauhid kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Jom Selamatkan Kalimah Allah di Taman Bukit Subang, di sini malam tadi.
Yang turut hadir memberikan ceramah ialah Ahli Majlis Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Wan Indra Putra Ahmad.
Zulkifli turut mengingatkan umat Islam agar menolak pakatan pembangkang apabila majlis pimpinannya yang turut dianggotai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri pada 8 Januari lalu memutuskan kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut semua agama dengan syarat tidak disalahgunakan.
Tegasnya, meskipun Majlis Syura Ulama Pas kemudiannya memutuskan menolak penggunaan kalimah Allah itu oleh agama lain, Abdul Hadi sehingga kini belum menarik balik persetujuannya bersama pemimpin tertinggi DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membenarkan pengunaan kalimah suci itu kepada semua agama. - Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan