Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berlepas ke Iran pada Rabu lalu bagi menyertai misi pelaburan selama tiga hari ke Wilayah Gazvin.
"Kunjungan ini bagi memenuhi undangan pemerintah wilayah berkenaan yang antara lain bertujuan mengukuhkan hubungan perdagangan antara Kerajaan Negeri Selangor dan Wilayah Gazvin," kata kenyataan media Pejabat Menteri Besar.
Menurut kenyataan itu,sepanjang lawatan tiga hari ini, Menteri Besar yang mengetuai 16 delegasi akan mengadakan pertemuan dengan Gabenor dan Pegawai Kanan Wilayah Gazvin (Bahagian Sektor Awam dan Swasta) selain perbincangan perniagaan bersama Dewan Perdagangan dan Perindustrian Wilayah Gazvin.
Beliau juga dijadual mengadakan lawatan ke MAPNA's Gas & Electric Turbine and Locomotive Plant, Universiti Antarabangsa Imam Khomeini dan Taman Sains dan Teknologi Qazvin.
Misi pelaburan ini disertai EXCO Negeri Selangor , Rodziah Ismail, Dr Halimah Ali, Yaakob Sapari, Ronnie Liu di samping pegawai-pegawai kanan Jabatan Pertanian, PKNS, Universiti Selangor (UNISEL), Tourism Selangor, KDEB dan SSIC.
Delegasi Kerajaan Negeri Selangor ini dijangka kembali ke tanah air pada Isnin ini.
"Dalam tempoh Januari hingga Julai 2011, jumlah pelaburan Iran di Selangor hanyalah RM1 juta dan Kerajaan Selangor berharap jumlah pelaburan ini dapat ditingkatkan dalam pelbagai sektor ekonomi," katanya.
Keengganan Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin kerana bimbang rakyat akan mengetahui belanjawan Pakatan Rakyat jauh lebih baik.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin berkata, seperti mana dalam perdebatan harga minyak antara Anwar dan bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, rakyat akhirnya mengetahui fakta sebenar.
“Selepas perdebatan Anwar-Shabery, akhirnya rakyat mengetahui bahawa harga minyak di Malaysia memang boleh diturunkan sekaligus membidas dakwaan Umno BN kononnya jika harga diturunkan negara ini akan bankrap.
“Begitu juga jika Najib berdebat dengan Anwar, beliau mungkin ‘demam’ selepas itu,” katanya.
Shamsul memberi contoh bagaimana Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 misalnya membuktikan betapa teruknya pentadbiran Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan.
Mengulas lanjut, Shamsul berkata pelbagai Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) sepakat dan bersetuju agar perdebatan antara Najib dan Anwar harus diadakan segera supaya rakyat boleh membuat pertimbangan.
Katanya, beberapa NGO yang terdiri dari pelbagai latar belakang seperti mahasiswa, pertubuhan Islam dan gerakan anak muda akan terus membuat desakan tersebut.
“Mesyuarat antara NGO itu juga bersetuju untuk menghantar memorandum khas secara terus kepada pejabat Datuk Najib dalam masa terdekat.
“Memorandum itu juga adalah susulan surat jemputan yang sudah pun diserahkan Akademi Pak Sako sebelum ini,” katanya dihubungi Keadilandaily.com.
Pada 17 Oktober lalu, Anwar mencabar Najib berdebat secara terbuka mengenai kedudukan ekonomi dan Belanjawan 2012 ekoran kritikan Najib terhadap Belanjawan Pakatan Rakyat kononnya tidak memahami kehendak rakyat.
Anwar berkata, debat itu harus diadakan segera dan secara terbuka kerana perbahasan belanjawan di Parlimen tidak mendapat liputan meluas.
Kelewatan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara adalah kerana kelemahan institusi yang disebabkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi perdana menteri, kata pakar perlembagaan negara Profesor Abdul Aziz Bari.
Pakar undang-undang UIA itu berkata Mahathir telah meminda perlembagaan persekutuan pada tahun 1993 dengan melucutkan raja-raja daripada kekebalan mereka dan menyediakan peruntukan bagi kerajaan untuk “memberi arahan” kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ini dilakukan dengan cara memasukkan Artikel 40 (1A) dalam perlembagaan yang menyatakan bahawa Seri Paduka perlu bertindak mengikut nasihat jemaah menteri.
“Pada dasarnya ini merupakan legasi yang ditinggalkan oleh pentadbiran Mahathir, yang mahu monarki disenyapkan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Menurut beliau, pada masa yang sama, negara mempunyai seorang eksekutif yang tidak memperdulikan kuasa badan yang lain dan monarki yang tidak pasti peranannya.
Kenyataan Abdul Aziz itu dibuat bagi mengulas kelewatan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara yang tertangguh dua minggu. Laporan itu biasanya dibentangkan pada hari yang sama dengan pembentangan Bajet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Bajet 2012 dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu.
Kelewatan itu dikatakan kerana jemaah menteri mahu meneliti laporan berkenaan sebelum ia dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana kebimbangan bahawa laporan audit tersebut akan mencuri tumpuan berbanding Bajet 2012.
Menurut Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, mengemukakan laporan kepada jemaah kabinet sebelum diperkenan oleh Seri Paduka adalah amalan yang diguna-pakai sejak 1982, iaitu sejurus selepas Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Kata beliau, ia bertujuan untuk membolehkan kabinet membiasakan diri dengan isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan itu dan menjelaskannya di Dewan Rakyat.
Polis negeri akan menempatkan lebih ramai anggota di kawasan bangunan sekitar Dewan Undangan Negeri pada Isnin depan untuk memastikan tidak ada pihak yang mengambil undang-undang di atas tangan sendiri dengan merantai kenderaan yang diletakkan sewenang-wenangnya di kawasan berkenaan.
Ini berikutan tindakan yang dilakukan oleh Ketua Pemuda Parti Cinta Malaysia, Liew Yeow Hooi dengan merantai sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Unit Perancang Ekonomi Negeri yang diletakkan di kawasan yang tidak ditempatkan untuk kenderaan di hadapan Dewan Undangan Negeri Isnin lalu.
Liew telah dipetik sebagai berkata akan bertindak sedemikian sekali lagi apabila sidang Dewan Undangan Negeri bersambung semula Isnin depan selepas cuti rehat sempena perayaan Deepavali.
Ketua Trafik Polis Negeri, ASP Ahmad Ezzely Razali memberi amaran, hanya pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sahaja yang mempunyai kuasa untuk merantai mana-mana kenderaan yang diletakkan di kawasan yang tidak dibenarkan menggunakan alat sita yang diwartakan.
Liew ketika bertindak demikian Isnin lalu tidak mengendahkan arahan polis yang bertugas di kawasan itu agar membuka semula rantai yang dipasangnya pada kenderaan milik kerajaan negeri itu.
“Sebagai pembuat undang-undang, ahli-ahli dewan sepatutnya menunjukkan teladan yang baik dengan mematuhi undang-undang. Adalah tidak adil jika hanya kenderaan persendirian sahaja yang disita jika melakukan kesalahan dengan meletak kenderaan di kawasan yang tidak digazetkan sebagai petak parkir sedangkan kenderaan milik kerajaan bebas berbuat demikian,” katanya kepada para pemberita selepas kenyataannya direkodkan oleh polis di Ibu Pejabat Polis Daerah George Town, Khamis.
Sambil menafikan yang tindakannya itu adalah bermotifkan politik atau untuk mendapatkan gimik publisiti, Liew menegaskan beliau hanya bertindak selepas pihak majlis perbandaran gagal bertindak tegas dan segera.
“Saya sendiri yang menelefon bahagian penguatkuasa MPPP menjelang tengah hari tetapi selepas tidak ada yang datang dan setelah memberi masa yang secukupnya kepada mereka, saya terpaksa mengambil tindakan di atas tangan sendiri kerana kenderaan kerajaan negeri itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas,” ujarnya lagi.
Liew juga mendakwa, terdapat sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan kenderaan yang diletakkan di tepi Leboh Light pada waktu itu sehingga menyebabkan kesesakan pada waktu tengah hari.
Tun Dr Mahathir Mohamad terus menyerang hasrat PAS memperkenalkan hukum hudud dengan hari ini menegaskan, perundangan Islam itu akan membawa kepada sistem keadilan yang berat sebelah kepada masyarakat Muslim dan bukan Muslim.
“Mereka mengatakan bahawa hudud hanya bagi Muslim. Jadi, jika ada kecurian melibatkan seorang rakan Cina, mereka akan memotong tangan tetapi rakan Cina atau rakan India, mereka (hanya) akan dapat hukuman penjara dua bulan.
“Jadi, bagi PAS itu keadilan. Sudah pasti, jika anda melakukan (kesalahan) lain, mereka akan memotong kepala anda,” kata beliau (gambar) kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan teh anjuran Perodua di sini hari ini.Laporan media semalam menyebut kerajaan Kelantan terus meletakkan harapan mahu mencapai hasrat dua dekad melaksanakan hukum hudud mahu bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan perkara tersebut sebaik sahaja segala pendekatan berkaitan selesai diadakan.
Isnin lalu, pentadbiran Nik Aziz mengumumkan pembentukan jawatankuasa teknikal berhubung pelaksanaan hukum hudud.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata pihaknya sudah pun menghantar surat kepada Najib berhubung cadangan mengadakan pertemuan dengan kerajaan persekutuan.
Mohd Amar berkata pertemuan rasmi dengan Najib belum ada lagi dan ia akan dilakukan apabila semuanya sudah sedia.
Bulan lalu, Dr Mahathir berkata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh mengadakan pertemuan dengan Najib jika masih berhasrat meneruskan usaha melaksanakan hukum hudud.
Dalam satu surat kepada Nik Aziz pada 1994, Dr Mahathir menolak rancangan Kelantan atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kelantan terus mendakwa hukum hudud gagal dilaksanakan ekoran pendirian dan sekatan kerajaan pusat.
Polemik bermusim ini muncul semula akhir bulan lalu dengan wujud pelbagai pandangan iaitu Kelantan boleh melaksanakannya dan pada masa yang sama ia juga bercanggah dengan undang-undang pusat. - TMI
Artis seni kelahiran Malaysia, Datuk Michelle Yeoh, yang baru-baru ini menarik perhatian dunia kerana melakonkan watak pejuang kebebasan Myanmar Aung San Suu Kyi dalam filem The Lady.
Tetapi yang paling menarik perhatian sekarang ini ialah khabar angin yang menyatakan bahawa dia akan menyertai politik Malaysia tidak lama lagi. Jika benarlah dakwaan tersebut, parti manakah yang akan menjadi pilihannya?
Menurut sina.com, pelakon superstar dari Malaysia itu sedang menimbangkan akan melibatkan diri dengan serius di dalam politik Malaysia dan akan menyertai pilihan raya umum akan datang.
Bekas gadis Bond tersebut masih belum membalas jawapan kepada Daily Chilly yang meminta penjelasannya mengenai perkara itu.
Tetapi ketika ibu bapanya dihubungi, Datuk Yeoh Kian Geik dan Datin Janet Yeoh menafikan mempunyai apa-apa maklumat tentang cita-cita politik anak perempuan mereka itu.
"Saya tidak fikir dia akan (menceburi politik)," menurut bapa kepada Datuk Yeoh, yang merupakan seorang ahli politik yang dihormati di Ipoh, Perak. "Dia tidak pernah menceritakan apa-apa kepada saya, tetapi saya akan tanya kepadanya."
Menyuarakan pandangan yang sama, Datin Janet berkata sambil ketawa: "Saya telah mendengar berita ini daripada kawan-kawan saya, dan saya rasa ia lucu. Saya tidak tahu bagaimana cerita itu muncul. Anak perempuan saya tidak pernah membincangkan mengenai politik dengan saya...."
Untuk makluman, ibubapa kepada selebriti terkenal ini merupakan penyokong kuat kerajaan dan merupakan ahli parti gabungan Barisan Nasional. -
UtaraNews
About
Blog ini mengandungi penulisan artikel yang berunsurkan..
(Edisi18PL), menyentuh aspek agama, sosial dan politik,
(Edisi18SX), mengandungi unsur seks yang agak keterlaluan,
(Edisi18SG), ada gabungan dua atau lebih unsur ganas, seram dan seks,
Setiap kandungan didalam blog ini hanyalah merupakan satira politik dan juga pojok penulisan peribadi. Jangan ambil serius sangat kalau terasa dipersendakan dan terkena di batang hidung sendiri. Sila bertindak bijak untuk kebaikan diri masing-masing.
Terima kasih kerana berlapang dada sewaktu membaca.